Pertengahan dekad pertama abad ke-21, satu aliran buah pukul mersing membuka gelanggangnya di taman perumahan tempat aku tinggal, atas permintaan pihak surau dengan tujuan melatih penduduk-penduduk taman khasnya untuk ahli rukun tetangga. Aku hadir sewaktu jurulatihnya memberikan taklimat dan demo ringkas untuk memberikan lebih kefahaman tentang apa itu buah pukul mersing...dan dari situ aku tahu nama aliran ini adalah lian padukan....dan dari situ juga aku tahu rupanya aliran beladiri yang di bawah nama umumnya buah pukul mersing ada banyak alirannya dengan pelbagai nama, antaranya adalah lian padukan, gayang lima, gerak lian, lian yunan, lian kwangtung, lian paduka dan ada juga yang mengekalkan namanya sebagai buah pukul mersing sahaja. Aliran-aliran ini banyak terdapat di negeri-negeri johor, pahang dan terengganu.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEicU507yxG_Vqu2T1S2vR6PqVVBDEjPh5cQR1LJUIOyIVOFRMNbmgSE8HPQFl0PBRMBVLv_5zORo99_UdCejK0sl5b8y8KJThslkbzmOH-8IBUzUA4iBQr32vPhh4VpZccKDHxOVrgn0W4/s320/logo_buahpukul.jpg)
Antara aliran-aliran buah pukul
Melihat persembahannya...walaupun cukup ringkas, sedikit sebanyak memberikan aku kefahaman tentang konsep buah pukul mersing, atau biasa juga dipanggil buah pukul. Gerak tangan yang pantas adalah perkara pertama yang aku perasan tentang buah pukul...seakan-akan tangan silat sendeng yang pernah aku pelajari. Konsepnya yang berbeza berbanding silat-silat yang aku pernah pelajari sebelum ini membuatkan aku merasakan yang aku perlu mempelajarinya... maka bergelangganglah aku semula...dan bermulalah juga penglibatanku dalam arena buah pukul...
0 comments:
Post a Comment