Seni Silat Sendeng Malaysia

Monday, July 19, 2010

Seni Silat Sendeng Malaysia

Sekitar tahun 1990-an di Taman Melawati...dari tingkap ofis aku dapat melihat beberapa orang pelajar sebuah kolej di situ sedang berlatih. Habis waktu kerja, aku mendekati dan berbual dengan mereka...dan dari situ aku tahu mereka berlatih Seni Silat Sendeng (SS). Sewaktu aku masih belajar SC dahulu, salah seorang jurulatihku pernah berkata, secara peribadi beliau meminati dan mengagumi beberapa aliran silat yang mana salah satu daripadanya adalah Silat Sendeng. Jadi secara tak langsung, setelah memperolehi sedikit sebanyak maklumat, ianya mempengaruhi fikiranku untuk mengenali silat ini.

Pernah suatu masa, sewaktu aku bersama ahli-ahli SC baru selesai mengadakan demonstrasi pengenalan dan pengambilan ahli baru di kampus tempat aku mengajar SC, kami didatangi oleh beberapa orang yang sebahagiannya aku kenali sebagai ahli SS. Tempat latihan mereka cuma lebih kurang 100 meter dari tempat kami membuat demonstrasi. Salah seorang daripada mereka (yang aku tidak kenali pada masa itu) bertanya adakah ada antara kami yang mengenali beliau. Kami yang pada masa itu boleh dianggap generasi baru jadi terpinga-pinga bila disoal begitu oleh orang yang tidak kami kenali. Setelah jurulatih senior kami datang, barulah kami tahu bahawa orang yang menegur kami tadi adalah Hj. Ismail Hj. Hamzah, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia.


Agak lama kami berbual dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mail dan beberapa orang ahli SS yang lain. Beliau begitu peramah dan mesra walaupun pertama kali berjumpa. Dari perbualan itulah baru aku tahu bahawa dia merupakan kawan baik dengan Ustaz Hanafi iaitu pengasas SC, manakala abangnya iaitu Hj. Hamid Hj. Hamzah yang juga dikenali sebagai Pak Hamid tangan besi, pengasas PSSSM pula berkawan dengan Yahya Said, guru kepada Ustaz Hanafi. Banyak pengalaman yang diceritakan dalam pertemuan singkat itu.


Dari beberapa pertemuan dengan ahli-ahli dan guru SS itulah yang mencetuskan minatku untuk mengenali SS dengan lebih dekat. Jadi aku nekad untuk mempelajarinya...di gelanggang latihan di kampus yang sama. Aku, disertai beberapa orang kawan mula mempelajari SS di bawah jurulatihnya Cikgu Mail sendiri dan beberapa pelatih senior. Latihannya agak keras, masa tu aku rasa stamina masih baik lagi, tapi kalau sekarang ni kena buat latihan macam tu, mau pancit rasanya. Setelah beberapa bulan berlatih, atas sebab-sebab yang aku sendiri tidak ketahui, gelanggang SS di kampus tersebut ditutup. Aku hanya sempat menjalani ujian peringkat pertama sahaja, itupun dibuat di sebuah masjid di Sri Damansara. Memang di masjid itu ada gelanggang latihan, tetapi lokasinya yang agak jauh dari kampus beserta masalah pengangkutan, aku tak dapat meneruskan latihan SS....dan di situlah jodohku dengan SS berakhir.

0 comments:

Post a Comment