Seni Silat Cekak Malaysia

Friday, May 21, 2010

Seni Silat Cekak Malaysia

Melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti menemukanku dengan seni silat aliran Cekak Malaysia. Masa tu di universiti tersebut hanya ada dua seni beladiri iaitu Silat Cekak (SC) dan TKD. Memandangkan aku pernah mempelajari silat sewaktu di sekolah dahulu, aku memilih untuk mempelajari silat juga. Sangkaku dengan mempelajari Seni Silat Gayung Pancasila (SSGP) dahulu akan memberi kelebihan dari sudut kefahaman dan kemahiran gerak bila aku belajar SC, tapi sangkaanku silap. SC amat berbeza dari SSGP dan kebanyakan silat. SC menanti serangan tidak berkuda-kuda. Menyerang juga tiada kuda-kuda. Buah-buahnya segerak, tiada mengelak, cuma ada tangkisan dan gelek. Memang aku betul-betul kekok pada permulaan aku mempelajarinya, malah sebelum belajar SC, selepas melihat demonstrasi, sempat aku bertanya kepada jurulatih SC, “Tak boring ke bang Silat Cekak takde kuda-kuda?”... aku sendiripun tak tau apa jenis soalan yang aku tanya tu, ada pulak tanya pasal boring atau tak bila takde kuda-kuda...hehe...

Pada permulaan kelas, sewaktu belajar kaedah B, iaitu tangkisan untuk serangan pada bahagian dada... dengan yakinnya aku menepis sambil mengeraskan tanganku, sama dengan aku ambil tangkisan luar SSGP dulu, tapi tiba-tiba abang jurulatih disebelahku memperbetulkan cara tangkisan yang aku buat. Tangan aku yang dikeraskan tadi disuruh lembutkan dan jari-jari aku yang dah mengepak itupun disuruh rapatkan. Makin janggal jadinya aku. Kebiasaan yang dilakukan waktu dalam SSGP dulu nampaknya banyak yang tak boleh pakai bila belajar SC. Lepas tu abang tu ada jelaskan, “Kita lembutkan tangan sebab tangan yang sama akan kita gunakan lagi pada peringkat yang seterusnya. Kalau tangan kita keras, gerakan lanjutan akan jadi lambat.” Setelah semakin naik peringkat barulah semakin faham aku tentang konsep dan gerak dalam SC.

Krisis kepimpinan yang berlaku setelah beberapa tahun aku dalam SC telah menyaksikan persatuan yang menaungi SC berpecah kepada dua iaitu persatuan asal, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia. Setelah meneliti segala penjelasan melalui semua sumber yang ada pada masa itu, aku membuat keputusan untuk memilih PSSCUHM.

0 comments:

Post a Comment