Demonstrasi silat yang pertama aku sertai adalah demonstrasi sempena pendaftaran dan pengambilan ahli baru silat cekak di kampus universiti tempat aku belajar. Demo pertama aku itu juga adalah persembahan silat cekak yang pertama di kampus tersebut di bawah kepimpinan guru utama baru pada masa itu iaitu Md Radzi Hanafi, anak keempat Almarhum Ustaz Hanafi. Demo pertama itu agak istimewa dan aku ingat sampai sekarang...sebabnya? Selepas selesai ucapan oleh presiden penaja dan penyelia kelas, baru demo dimulakan... di tengah panas terik matahari, di atas tar (parking lot) dan di bulan puasa... cukup resepi.
Selepas itu banyak lagi persembahan yang aku terlibat termasuk demo sempena Festival Silat Sedunia di stadium negara, demo sempena pelancaran Malaysia-Everest di Dataran Merdeka, demo Rakan Wajadiri KBS di seluruh negara termasuk di Dataran Johor Bahru dan Alor Setar. Jemputan demo silat dalam kampus tak yah cerita la... memang banyak. Setelah dilantik sebagai jurulatih, aku diamanahkan pula melatih pelapis squad demonstrasi di samping melatih anak-anak buah untuk persediaan ujian-ujian Sijil Rendah Persilatan (SRP) dan ujian Sijil Menengah Persilatan (SMP).
Setelah bermulanya pertandingan wajadiri silat cekak hanafi peringkat kebangsaan yang pesertanya terdiri daripada hampir semua kelas latihan cekak hanafi di peringkat sekolah, cawangan negeri dan institut pengajian tinggi di seluruh negara, aku terlibat pula melatih pasukan yang akan mewakili universiti. Terlalu banyak pengalaman yang aku lalui sepanjang 6 tahun berturut-turut melatih anak-anak buahku.
Bagiku ada beberapa kelebihan bila seseorang ahli senibeladiri itu terlibat dengan demonstrasi beladiri. Untuk membuat persembahan, kita perlu berlatih beberapa kali dan proses yang sama akan berulang untuk setiap demonstrasi yang disertai, jadi waktu itulah kreativiti, ketangkasan, kepantasan gerak dan kemahiran akan meningkat. Itu memang terjadi kepada anak-anak didikku... ada antara mereka yang pada awalnya teramatlah lembiknya bila buat buah silat hingga stress aku dibuatnya, tetapi sampai satu tahap... peningkatan mereka begitu drastik, jadi mantap dan tangkas... dan hasilnya ada antara mereka yang menjadi juara dalam kategori masing-masing.
Kepada adik-adik atau sahabat-sahabat yang selalu buat persembahan beladiri, ada beberapa panduan yang suka abang kongsikan di sini... pakailah kalau nak, kalau tak nak sudah....bukan ada sapa boleh paksa ponnnn... hehe...
- Jangka masa persembahan: Jika demo adalah atas jemputan pihak lain, dapatkan maklumat jangka masa persembahan yang diperuntukkan dan pukul berapa bermulanya. Selalu terjadi peserta demo syok sendiri buat demonstrasi sampai terbabas-babas dari masa yang diperuntukkan sehingga mengganggu perjalanan majlis. Orang bagi 10 minit dibantainya 40 minit, mana tak lari agenda majlis.
- Lokasi persembahan: Pastikan di mana demo akan diadakan, adakah di atas pentas, di padang, court badminton atau lain-lain kerana... adalah penting untuk kita setkan format demo yang bersesuaian dengan keluasan tempat. Kalau kat pentas muat 10 orang, tetiba kita bawa 20 orang peserta demo susah juga. Ataupun kalau demo kat padang... luas lak tu, tup-tup kita cuma set demo untuk 2 orang... sayup je la penonton nampak.
- Posisi penonton: Adakah penonton hanya berada di depan sahaja? Atau di sekeliling? Jarak penonton dengan ruang demonstrasi? Ini juga penting untuk kita setkan format demonstrasi. Kalau tempat kecik dan penonton pula rapat dengan ruang demo, rasanya tak sesuai kalau nak buat pentas parang atau tongkat panjang... nanti ada penonton yang masuk spital pulak.
- Kaedah buah: Kadang-kadang sebab nak tunjuk terer depan penonton, kita belasah partner betul-betul, konon supaya penonton tahu silat kita ganas dan terer sedangkan hakikatnya kadang-kadang penonton tak dapat nak menghayatipun 'keganasan' kita tu... contohnya kalau kita tumbuk betul-betul di dada partner takde bunyipun, kesan kepada penonton tak sampai sedangkan partner pulak yang kesakitan... alternatifnya kita buka tangan dan tepuk di dada, bunyinya lebih 'menggerunkan' penonton dan partnerpun rasa macam kena urut je. Sebenarnya banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk buat buah supaya penonton nampak macam betul sedangkan itu semua dah dirancang, tujuannya adalah untuk menjadikan demo itu puas ditonton tanpa mencederakan atau membuat partner menderita. Soal tips ini anda perlu refer senior yang berpengalaman dalam demo aliran masing-masing sebab benda ni kena tunjuk praktikal baru jelas.
- Senjata: Sekiranya demo melibatkan penggunaan senjata, pastikan kita cukup latihan untuk mengendalikan senjata tersebut dengan baik kerana takut membahayakan penonton. Aku pernah saksikan demo silat yang pisaunya terlepas dan terpelanting dari tangan pesilat dan nyaris terkena pada penonton... buatnya pisau tu terpacak kat kepala penonton tu... jawablah engkorang.
- Format persembahan: Kalau demo kita di tempat-tempat yang berbeza dengan kumpulan penonton yang juga berbeza, eloknya tak perlu kita tukar format persembahan. Ini akan menjimatkan masa latihan dan menjadikan peserta lebih mahir kerana sentiasa berlatih gerakan dan set buah yang sama.
- Tersilap sewaktu persembahan: Jika ada antara peserta tersilap buat pergerakan atau buah sewaktu demo, betulkan kembali dengan cepat. Kadangkala penonton tak perasanpun kesilapan tu sebab diaorang bukan tahu bagaimana buah silat kita dan apa pergerakan yang kita set, tetapi kalau lepas buat silap tu kita tersengih-sengih dan terkulat-kulat kat pentas tu dah sah-sah penonton akan tahu yang kita dah buat silap.
Banyak dah tips tu, nanti jadi novel pulak... ada jugak yang bosan nanti. Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, persembahan beladiri adalah sebagai pintu untuk penonton mengenali aliran beladiri masing-masing, jadi kita perlu menunjukkan 'kecantikan' aliran masing-masing agar penonton teruja dan seterusnya berminat untuk menyertai.
Tuesday, February 21, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment